Rabu, 12 Mei 2010

11 mei 2010
Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum kepada semua pembaca blogku..

Hari ini setelah sekian lama tidak berpeluang untuk menulis, aku cuba untuk menggunakan sedikit masa yang ada untuk kuluahkan apa yang bermain-main dalam fikiranku sejak kebelakangan ini.Masyarakatku sedang sakit..Itulah antara ungkapan yang sering bermain di kepala ku ini.Tetapi ia seperti satu kejadian yang semua orang sudah tidak berdaya untuk berbuat apa-apa lagi.
Semua berbuat seolah-olah tiada apa yang berlaku.Aneh dan menakutkan.Itulah yang sering kurasakan sejak kebelakangan ini.Semua seolah-olah berada dalam mimpi dan bila sesuatu yang besar berlaku barulah kita semua akan terjaga dari lena yang panjang.
Aku juga terfikir-fikir apakah hanya segelintir sahaja yang memahami situasi sebenar yang kita alami sekarang ini atau mereka semua nampak benda yang sama tetapi menyorokkan tindakan atau kegusaran mereka.Apabila aku cuba kaitkan dengan diriku..suatu masa dahulu yang tidak berapa lama dulu, aku pun tidak mempunyai pandangan seperti ini.Mungkinkah ini anugerah ALLAH? mudah-mudahan..
Dunia ini memang satu tipuan.Hadis nabi saw banyak menceritakan tentang dunia yang penuh dengan tipu daya.Cuba kita lihat perbezaan hidup kita sekarang dengan cara hidup nabi.Mungkin ada yang berkata itu nabi..kita bukan nabi..Itu hak masing-masing nak kata apa pun..Tetapi bagi diriku..di zaman moden ini, apa yang kita lihat di sekeliling kita banyaknya palsu belaka.Kita kena memandang bukan menggunakan mata tetapi mata hati..Sesuatu yang kita pandang itu biarlah selari dengan pandangan nabi saw dan ALLAH swt.Barulah timbul keyakinan bahawa pandangan kita itu adalah satu pandangan yang betul.

Akan bersambung lagi di satu masa akan datang..insyaALLAH.

Selasa, 11 Mei 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Terjumpa sajak yang pernah ditulis satu ketika dulu..

Wahai diri
renungkanlah sedalam-dalamnya
mengapa engkau diciptakan
apakah untuk mencari keseronokan
di dunia yang sementara ini
atau di sebalik penciptaanmu
apakah ada terselit sebuah rahsia
rahsia yang tidak semua dapat membongkarnya

Wahai diri
jika engkau telah tahu
tujuan penciptaanmu
kenapa engkau
masih lalai
masih leka
masih mencuri-curi masa
kenapa tidak
engkau persiapkan dirimu
kerna engkau tidak pernah akan tahu
bila saat perhentianmu

Wahai diri
penciptaanmu sungguh-sungguh ajaib
jika tidak kerna al-quran
yang dibawa oleh nabimu
Muhammad saw
engkau tidak akan pernah tahu
akan asal kewujudanmu
Bersyukurlah kerna hidayah
telah pun dianugerahkan kepadamu

Wahai diri
ayuh bangkitlah
mintalah kekuatan
dari Penciptamu
mintalah agar ditunjuki
jalan-jalan yang lurus
jalan-jalan yang terang
jalan orang-orang yang mendapat petunjukNya

Wahai diri
galilah lagi ilmu-ilmu
yang terbentang luas di alam ini
di samping ilmu quran dan hadis
Wahai diri
bersyukurlah kerna engkau dilahirkan
sebagai seorang Islam

Wahai diri
andai takdir ajalmu
menjemputmu sedetik lagi
apakah sudah cukup persediaanmu?

Wahai diri
dapatkah kau bayangkan
kamar gelap yang menggantikan
kamar indah yang kau duduki saat ini?
dan
siapakah yang akan menemanimu nanti
sesungguhnya hambaMu
tidak berdaya untuk membuat persiapan
yang sebaiknya
Hanya sanya hambaMu
mengharapkan pengampunan
dari Mu Yang Maha Pengampun
Hanya kepadaMu diri ini berserah

Sajak ini kutujukan khas buat diriku..dan untuk kukongsikan bersama sesiapa yang sudi membacanya..

Khamis, 22 April 2010

Kenapa kita mandi

Bismillahirrahmanirrahim
Ada orang terlampau sensitif dengan bau badan.Kalau sensitif dengan bau badan orang lain saja tapi dengan bau badan sendiri tak sensitif, itu dah kes teruk.
Allah jadikan setiap benda berpasangan kerana hanya DIA yang tunggal.Kebanyakan kita hanya prihatin terhadap bau yang fizikal tetapi tak peka langsung dengan bau yang non-fizikal.Kalau badan berbau, kita boleh pergi mandi, syampu dengan syampu yang paling sedap sekali, lepas tu sembur lagi dengan minyak wangi, tambah dengan guna deodran pulak tu..
Tetapi di sebalik sunnah mandi ada tersirat sesuatu yang Allah nak ajar kita iaitu kita pun mesti peka dengan bau tidak enak non-fizikal yang disebabkan oleh dosa-dosa kita. Kekotoran fizikal mudah untuk kita bersihkan tapi kekotoran dosa susah sekali untuk kita bersihkan.
Sudahkah kita membersihkan diri kita daripada kekotoran non-fizikal kita pada hari ini?Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi bersih sebersih-bersihnya luar dan dalam..Dan sama-sama kita amalkan Ya Quddus Ya Salam..moga-moga Allah menjadikan kita hambaNya yang suci dan sejahtera kerana banyak nikmat yang dapat kita peroleh jika kita menjaga kesucian diri luar dan dalam.

Kita dan MASA

Bismillahirrahmanirrahim..

Sedar tak sedar esok dah pun hari terakhir untuk minggu ini(bagi sesiapa yang tinggal di Kedah atau Terengganu). Masa sungguh-sungguh terasa terlalu cepat berlalu.Banyak istilah diberi kepada masa, spt masa itu emas, masa itu kehidupan, masa bagaikan pedang dan macam-macam lagi.Yang penting, masa adalah sesuatu ciptaan Allah yang unik sehinggakan Allah bersumpah dengan masa.
Cuba kita toleh sejenak zaman silam kita masa kanak-kanak dulu, seperti baru saja berlalu.Kita langsung tak dapat nak rasai berapa lama tempoh masa tersebut, cuma yang dapat kita rasa ianya telah pun berlalu.Masa yang berlalu pergi meninggalkan kita dan kita tidak akan berjumpa semula dengan masa tersebut sehinggalah bila di akhirat nanti iaitu bila kita akan menjadi saksi terhadap bagaimana telah kita gunakan masa itu dahulu.
Dalam buku Ihya ada disebutkan, masa yang kita ada dalam 24 jam sehari semalam itu, kita akan buka ia dalam bentuk kotak-kotak.Andai kita telah isi kotak tersebut dengan benda berfaedah, bergembiralah kita.Tetapi andai sebaliknya, kita akan buka kotak itu dengan perasaan yang penuh menyesal.
Sama-sama kita renungkan bagaimanakah kita dan penggunaan masa kita dan apakah hasil yang kita dapat bila kita menghabiskan masa kita dengan cara tersebut.

Rabu, 21 April 2010

Maha Bijaksananya Tuhan kita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Selasa 20 April, 2010
9:30 pagi

Terjumpa satu sajak yang menarik dalam buku yang sedang kubaca sekarang ini, "Kasihmu Semerbak Firdausi - Ruhana Zaki".

Kita minta kepada Tuhan setangkai bunga segar
DIA beri kita kaktus berduri
kita minta kupu-kupu
diberi ulat berbulu
kita sedih dan kecewa
namun kemudian..
kaktus itu berbunga indah sekali
dan ulat itu pun menjadi kupu-kupu
yang sangat cantik
Itulah jalan TUHAN
indah pada masanya
TUHAN tidak memberi apa yang kita harapkan
tapi DIA memberi apa yang kita PERLUKAN
kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka
tapi jauh di atas segala-galanya
DIA sedang mengatur yang terbaik dalam
kehidupan kita

Tepat sekali kata-kata dalam sajak di dalam sajak di atas. Andai setiap ketika ditimpa musibah atau ujian kita boleh berfikiran sedemikian, alangkah baiknya..


Isnin, 19 April 2010

Isnin 19 April, 2010
Alhamdulillah hasrat untuk membuat blog telah tercapai.Banyaknya perkara yang aku tak tahu pasal nak buat blog ni..tak apalah..belajar perlahan-lahan.Yang penting ini adalah salah satu cara untuk aku menulis.Seronok jugak menulis ni, macam kita bersembang jugak, tapi dengan diri sendiri.Menulis boleh membuat pemikiran kita berkembang dan hasilnya otak kita tak lah lembap.
Tapi bila menulis dalam blog, ia sesuatu yang berbeza dengan jika kita menulis di dalam dairi.Hasil tulisan kita boleh dibaca oleh sesiapa saja.Persediaan diri, kita mesti bersedia untuk dikritik. Ini adalah tanda-tanda diri kita semakin inginkan kemajuan.
Bila aku fikir tentang nama blog aku ni, alhamdulillah, aku sangat berpuas hati. Memang itu apa yang aku rasa. Andai tidak dengan Islam, bolehkah seseorang itu menjadi mulia? Mungkin boleh tetapi di mata manusia dan terhad untuk di dunia ini saja. Berbeza dengan Islam, walaupun di mata manusia kita serba kekurangan tetapi nilai kita tinggi di sisi Allah jika kita menjadi hamba yang diredhaiNya.Nikmat yang terbesar adalah menjadi orang Islam yang beriman dan bertaqwa. Kusyukuri nikmatMu yang teragung ini wahai Tuhanku.Itulah juga yang menjadi matlamat hidupku.
Wawasan telah pun jelas, jalan terbentang luas, papan-papan tanda berada di mana-mana..Apakah yang menghalangku untuk terus maju sehingga ke garisan penamat, menang dengan cara terhormat..?Semua jawapannya ada dalam diriku.Ini bukanlah suatu perlumbaan,pertandingan atau persaingan dengan insan lain tetapi ini adalah suatu peperangan di dalam diri sendiri, jihad melawan nafsu.Sesuatu yang bukannya boleh dipandang mudah dan remeh dan inilah yang sentiasa bermain di dalam fikiranku..Menjadi yang terbaik!
Dengan Islam juga segala formula kejayaan hidup telah pun Allah sediakan tetapi musuh-musuh sentiasa berusaha tanpa henti, tanpa kenal penat lelah kerana mereka telah berjanji untuk menyesatkan manusia hinggalah neraka itu menjadi destinasi terakhir kita..nauzubillah min zalik.Kita akan dapat apa yang kita usahakan..dan di dunia inilah dan di saat inilah..aku mesti bekerja keras semoga syurga menjadi destinasi terakhirku.