Rabu, 22 Disember 2010

Apa yang menjadi keinginanku..

Bismillahirrahmanirrahim

Di ketika ini, di saat ini, duniaku adalah rumahku.Hampir segenap waktuku, kuperuntukkan untuk suami dan anak2ku.Mereka adalah insan2 yang setiap waktu berinteraksi denganku.

Ada masanya aku lelah dengan kerenah mereka.Justeru waktu yang paling kutunggu2 adalah bilamana kudapati kesemua anak2ku sedang tidur lena di waktu siang mereka.Tetapi waktu2 begini bukanlah selalu dapat kurasai.Kadangkala timbul rasa bersalah di hati ini.Apakah aku tidak mensyukuri anugerah Allah kepadaku ini?

Maafkan aku, Ya Allah.Bukan maksudku tidak suka dengan amanah dan anugerah ini.Ini semua adalah kerana kelemahanku sendiri.Aku sedar adakalanya keinginan untuk memenuhi nafsuku sukar untuk kukawal.Maafkan ibu, wahai anak2ku.Ibu sedar ibu tidak sepenuhnya berkorban keranamu.Pengorbanan ibu sangat sedikit jika dibandingkan dengan tokoh2 ibu mithali yang telah melakar sejarah mereka.Mereka melahirkan dan membesarkan anak2 yang hebat-hebat.Bila membaca kisah2 mereka, terdetik di hati ini untuk mengikut jejak langkah mereka..ibu ingin menjadi ibu yang hebat..bisik hati kecil ibu.

Ya Allah Ya Tuhanku, berilah peluang kepadaku untuk perbaiki diri ini kerana aku sedar aku menjadi contoh kepada anak2ku.Dan aku sentiasa berharap agar Kau sentiasa ada bersama-samaku dalam medidik anak2ku.Sesungguhnya tugas mendidik mereka adalah satu tugas yang maha berat.Bersama-samalah denganku Ya Allah..

Kau telah menganugerahiku dengan empat orang puteri yang sungguh comel sekali.Aku senang dan redha menerima mereka dan aku yakin ada sebab di sebalik pemberianMu ini.Kau memberiku peluang untuk menggantikan kesilapan2 sewaktu mudaku dengan 4 kali gandaan.Alangkah pemurah dan bijaksananya perancanganMu.Kau memberiku peluang untuk menebus segala kejahilan yang pernah mewarnai hidupku.

Andaikata aku tidak menggunakan peluang ini dengan sebaik2nya, aku adalah betul2 insan yang merugi.Jangan biarkan itu berlaku kepadaku Ya Allah..Aku ingin mendidik mereka sehingga mereka menjadi seorang ibu yang lebih hebat dpdku, seorang isteri yang lebih hebat dpdku, seorang wanita yang lebih hebat dpdku dan tentunya seorang hamba yang tersangat mencintaiMu lebih dpd aku mencintaiMu.Ya Allah, bantulah aku sehingga keinginanku ini tercapai..Amin.


Ahad, 12 Disember 2010

Kisahku

Bismillahirrahmanirrahim

Ingin kulakarkan kisah hidupku.Bukan kerana aku ini orang yg ternama atau orang yg istimewa, makanya kisah hidupku perlu dirakamkan.Aku hanyalah insan biasa yang melalui saat-saat dalam kehidupanku seperti juga insan-insan lain.Tetapi keinginan yang ada dalam hati kecilku ini untuk berkongsi pengalaman kisah suka duka serta pengajaran dari pengalaman yang ditempuhi membuatku bercita-cita untuk menjadi penulis.

Mampukah aku? Pena telahpun terangakat..Mampu atau tidak, kuserahkan kepada Allah.Kerjaku adalah berusaha.Kenapa perlu menulis?Bukankah cukup jika aku sekadar bercerita sahaja kepada orang2 yang ingin mendengar? Aku akan mati suatu hari nanti.Jika berjaya kutulis buku kisah hidupku, setelah kematianku nanti sesiapa saja pun masih boleh membacanya.Dia mungkin anakku, cucuku, anak saudaraku, suamiku, abangku, mak mertuaku, kawanku, guruku atau sesiapa sahaja.

Dalam hidup ini terlalu banyak yang telah kita alami.Tetapi terlalu sedikit ruang waktu untuk dikongsikan kepada orang lain dan inilah tujuan buku ini ditulis.Aku berdoa kepada Allah agar niat murniku ini akan dipermudahkan urusannya oleh Allah swt.Terngiang lagu oleh Ramli Sarip..Aku menulis bukan kerna nama..Aku menulis kerana Allah.Aku menulis kerana ingin berkongsi.Aku menulis kerana ingin nasihat-menasihati.Aku menulis kerana zuriat keturunanku!!

Kisah kehidupanku telah terakam sedemikian rupa adalah untuk anak-anakku, puteri-puteri kesayanganku..agar kamu semua lebih memahami tentang tipu daya dunia ini..Agar kamu menempuh jalan yang lurus dengan lebih awal lagi.Agar kamu dapat memandang dunia ini sepertimana nabi junjungan kita memandangnya.Agar kamu melalui liku-liku hidup ini berpandukan Quran dan Hadis dan memahami fitrah kejadianmu.Hanya dengan memahami fitrah kejadianmu dan mengambil panduan hidup quran dan hadis sepenuhnyalah, seseorang itu boleh menemui kemuliaan dan kejayaan dunia dan akhirat.






Ahad, 7 November 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Malam ini sudah pun larut..tetapi selagi aku tidak dapat mencoretkan sesuatu di dlm blogku ini, aku seakan tidak mahu tidur..

Ya ALLAH, berikan hambaMu ini ilham utk menulis Ya ALLAH supaya puas hatinya Ya ALLAH..

Sudah berjam-jam kutunggu tetapi ilham tidak pun kunjung tiba..Aku yakinkan diriku..ilham itu datang dpd ALLAH, bukan dari diriku..Diriku tidak punya apa..semua yang berlaku adalah dengan izin ALLAH..

Sudah 38 tahun usiaku..kini sedikit demi sedikit aku merasakan kejayaan bakal menjadi milikku..Kuat sekali perasaan ini..Tetapi dengan satu syarat iaitu aku harus terus melangkah..lambat atau cepat sahaja..kejayaan telah tersedia..cuma langkahku jangan terhenti..

ALLAH telah merancang kejadianku kejadian yang sebaik-baik kejadian..tetapi aku diminta utuk berusaha jika aku ingin mencapainya.Aku ibarat sebuah mesin yang mana untuk dapat membuat diriku berfungsi, aku harus mengkaji sendiri manual yang tersedia khusus utk diriku.

Aku harus mengkaji dan mengkaji, mesin apakah aku ini, gunanya aku untuk apa, keadaan yang bagaimana boleh membuatkan aku berfungsi sebaiknya, perkara apa yang boleh menambahbaik efisiensi diriku dan keadaan yang bagaimana boleh merosakkan dan memendekkan tempoh hayatku..

Sewaktu remaja dan mudaku, aku sering tidak tahu bagaimana untuk mengecapi kebahagiaan.Di alam persekolahanku, fahamanku pelajar yang terbaik adalah pelajar yang terpandai.Oleh itu aku pun belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang.Tetapi aku tidak juga bahagia.Aku tiada ramai kawan.Malah aku akui aku tidak pandai bersosial.

Walaupun aku antara pelajar yang bijak namun aku tidak bergembira.Sesuatu yang aku tidak ada ketika itu adalah keyakinan diri.Keyakinan diri yang rendah menyusahkan aku untuk membuat satu-satu keputusan untuk bertindak.Jiwaku tersiksa..Hati kecilku tidak dapat membantu aku ketika itu..

Beberapa lama dalam hidupku aku menjadi seseorang yang tidak tahu bagaimana untuk melalui kehidupan.Contoh-contoh sekeliling menambah burukkan lagi keadaan.Kejayaan hidup bagiku waktu itu hanyalah bila aku berjaya mendapatkan segulung ijazah, pekerjaan yang hebat, memiliki kereta yang besar dan seterusnya rumah yang selesa.

Dari segi beragama pula, aku tahu syurga neraka, aku tahu aku perlu puasa dan solat.Aku buat sekadar rutin, tiada pernah merasakan kepentingan ibadah2 tersebut.Aku kenal ALLAH tapi aku jarang bergantung kepadaNya.Budaya barat menjadi kekagumanku.Aku bangga bila membeli buku2 cerita yang ditulis oleh penulis2 barat.Buku2 keagamaan langsung tidak menjadi tempat di hatiku.

Begitulah kehidupanku waktu remaja dan mudaku..Aku tidak tahu bagaimana untuk hidup yang sebenarnya.Aku tidak tahu erti kejayaan yang sebenarnya.Tetapi di sebalik ketidakpuasan hidup yang kurasai itu, ALLAH telah mengilhamkanku untuk mencari dan terus mencari erti sebenar kebahagiaan.Alhamdulillah, dengan anugerah ALLAH kini kutemui kebahagiaan yang sebenar adalah bila kita dapat mencintai ALLAH..

Terima Kasih ALLAH atas anugerah yang tidak ternilai ini..Dan hati kecil ini ingin untuk membantu seramai mungkin insan2 lain untuk dapat mengecapi kebahagiaan tersebut..insyaALLAH.














Rabu, 25 Ogos 2010

Tujuan sebenar kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim.

Merasai diri ini hanyalah seorang hamba, itulah tujuan sebenar hakikat kejadian kita. Kita hanyalah hamba dan setiap hamba itu dimiliki oleh tuan. Dan aku bersyukur aku adalah milik Tuhanku ALLAH swt.Tiada apa yang menyamai sifat2 ALLAH.

ALLAH, Tuhan yang MAHA ADIL,IA tdk pernah menzalimiku, hanya aku yg menzalimi diri ku sendiri.ALLAH, Tuhan yg MAHA PEMURAH, semua yg aku ada DIAlah yang memberinya, DIA memberi apa yg aku minta juga apa yg aku tidak minta, DIA juga memberi sebelum aku minta, DIA memberi tanpa meminta apa jua balasan, DIA memberi walaupun aku sering lupa mengucapkan terima kasih.

ALLAH, Tuhan yg MAHA PENYAYANG, DIA menyayangiku lebih dpd ibu bapaku menyayangiku, DIA menyayangiku setiap saat dan waktu walaupun ketika aku tdk mengenaliNYA dahulu, DIA menyayangiku tanpa meminta utk aku menyayangiNYA, DIA menyayangiku tanpa meletakkan apa2 syarat.

Aaah.. nikmat sekali menjadi hambaMU YA ALLAH..Aku bersyukur menjadi hambaMU dan aku berlindung dgnMu dr menjadi hamba kepada selainMU.Aku sedar nikmat ini adalah anugerah tertinggiMu.Aku memohon ajarilah aku lagi ttg sifat2Mu agar aku mengenaliMu sedalam-dalamnya agar aku dapat menjalani hidupku sebagai hamba yg KAU redhai dan sayangi.Aku memohon dariMu agar aku dapat menggunakan hayat yg masih kau pinjamkan ini untuk aku dpt mensyukuriMu, mengagungkanMu, mensucikanMu, memuliakanMu dan menegakkan kalimahMu.Amin.

"Wahai jiwa yg tenang! Kembalilah kpd TuhanMu dgn hati yg redha dan diredhaiNYA. Masuklah ke dalam golongan hamba2Ku.Dan masuklah ke dalam syurgaku.(surah Al-Fajr :27~30)

Moga aku tergolong di dalam golongan itu.Amin

Hari Raya dulu dan kini

Bismillahirrahmanirrahim.

Kenapa semasa kita kecil, hari raya itu sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan hari yang kita tunggu2? Bagaimana pula perasaan kita terhadap hari raya bila kita sudah menginjak dewasa dan matang ini? Kemeriahan makin kurang terasa.Kadang2 kita membuat sesuatu untuk merasai kemeriahan seperti yang kita rasakan sewaktu kanak2 dahulu.Tetapi masih tidak berjaya.Ada yang membeli-belah, menukar perabot dan langsir baru, membuat biskut dan kek dan sebagainya hanya utk merasai kembali kemeriahan yg pernah dirasakan dulu.

Tetapi sedarkah kita adakalanya kita terlebih dalam membuat sesuatu perkara dan hanya mengikut budaya.Akibatnya kita membuat sesuatu yg bertentangan dgn ALLAH.Cuba kita renung kembali bagaimana kita diajar untuk menghadapi puasa dan hari raya semasa kita kecil dulu.Kebanyakan kita diajar untuk menanti hari raya spt memasang pelita, mencuba baju baru, kasut baru, bermain mercun dan bunga api dsb, semuanya menjurus kpd keseronokan menyambut hari raya.Dan pada hari raya pula bermacam juadah dan lauk-pauk disajikan.Berbuka sungguh, cover utk sebulan terus.

Tak salah untuk bergembira di hari raya. Tetapi kita harus berfikir apa tujuan ALLAH menganugerahi kita dgn Ramadan? Ramadan bulan utk menyucikan diri dan menjadikan kita orang2 yg bertaqwa.Sia-sia jika kita tdk mengambil kelebihan yang ALLAH anugerahkan itu.

Untuk anak-anak generasi akan datang, latihlah mereka utk menghayati Ramadan dan mempergunakan Ramadan bg melatih diri membuang sifat2 mazmumah dan memupuk sifat2 mahmudah.Latih mereka utk berfikir ttg orang yg lebih susah.Latih mereka utk turun padang, buat kerja2 kebajikan dsb.Ketika hari raya pula latihlah mereka utk merayakan kemenangan melawan nafsu, bersyukur dgn nikmat ALLAH, menyambungkan silaturrahim dan bermaaf-maafan.Semoga diri kita ada peningkatan.

Saaayang Ramadan

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini 15 Ramadan.Ramadan melangkah pergi ingin meninggalkan aku.Aku tidak mahu ramadan meninggalkan aku dalam keadaan aku belum melakukan yang terbaik untuknya. Aku harus lakukan sesuatu. Aku harus lebih kerja keras.

Ramadan memberikan apa yang aku cari selama ini.Ia mengabulkan segala hajat2ku.Aku sangat berterima kasih kepada Ramadan. Aku sayangkan Ramadan.Ramadan buat aku boleh bangun pukul 4 pagi.Ramadan buat aku jadi lebih rajin.Ramadan buat aku mencuba juadah berbuka hampir setiap hari.Ramadan buat aku ada banyak masa, walaupun aku masih rasa spt tak cukup masa.Ramadan buat aku lebih banyak merenung diri.Dan Ramadan kali ini menemukan diriku yang sebenar.Aku sepatutnya perlu selesaikan masalah diriku secepat mungkin krn banyak orang lain di luar sana memerlukan aku.

Ya ALLAH aku meminta drpdMu Ya ALLAH, rezekikanlah kepadaku kerahmatanMu, pengampunanMu dan pembebasan nerakaMu.Rezekikan juga agar aku dapat membuat sebanyak mungkin amal ibadat pada mlm lailatul qadar.Dan semoga Ramadan kali ini melahirkan diriku yang baru yang memberi banyak manfaat untuk org di sekelilingku.Amin.


Rabu, 16 Jun 2010

Imanku sayang

Imanku sayang..Iman penyejuk hati ibu ..sekarang ni Iman dah mula nak noti2..ye .. Iman dah pandai nak gigit2 ibu ye..Iman..Puteri Nur Iman..satu2nya nama yang ibu beri, sepenuhnya ilham dari ibu..buat anak ibu yang comel ini.Iman, ketahuilah nama Iman tu ada sesuatu maksud di sebaliknya..ketika mengandungkan Iman, ibu terasa yang minat ibu adalah seorang pendakwah..Ibu berharap minat ibu yang ada ini, Iman akan teruskan, insyaALLAH..

Imanku sayang..Kau adalah milik ALLAH.Ibu hanyalah sebagai pemegang amanah.Ibu ingin agar bila kau besar, kau dan juga anak2 ibu yang lain akan menjadi pejuang agama.Dari perut2 anak2 ibu ini akan lahirlah generasi2 penegak kalimah ALLAH.Ibu bersyukur dan faham kenapa ALLAH menghadiahkan ibu dengan 4 anak perempuan yang comel2 ini..supaya kamu semua boleh melahirkan zuriat-zuriat soleh dan solehah.Inilah perjuangan ibu, untuk menjadikan kamu semua isteri2 solehah, ibu2 mithali dan wanita2 professional..Ya ALLAH bantu aku Ya ALLAH untuk merealisasikan impianku ini.

Diriku yang lemah

16 jun, 2010
9 pagi

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim..

Setelah sekian lama tidak melayan blog ini, pagi ini aku membaca semula kesemua hasil penulisanku setakat ini. Sememangnya apa yang aku tuliskan adalah peringatan2 untuk diriku yang sering alpa.Tetapi di samping kelemahan diri yang masih banyak untuk diperbaiki ini, aku berkeinginan juga agar apa2 ynag kucoret mendatangkan manfaat buat pembaca2 semua.

Inilah diriku..ada kalanya aku lemah, ada kalanya aku begitu bersemangat..tapi setiap kali aku lemah, aku tidak akan membiarkan ianya lama berterusan. Aku sedar aku lemah ketika aku jauh dari ALLAH.Aku lemah ketika aku kurang bersyukur.Aku lemah ketika aku kurang berkomunikasi dengan ALLAH.Aku lemah ketika ALLAH murka denganku.Aku lemah ketika aku kurang memberi.Aku lemah ketika aku kurang berilmu.Aku lemah ketika fikiranku negatif.

Indahnya Islam kerana ia adalah formula kehidupan.Indahnya Islam kerana ALLAH redha dengan Islam.Indahnya hidup kerana kita kenal Islam dan kita kenal ALLAH.Walau lemah sekalipun kita tahu cari jalan pulang.Ketika lemah, aku suka mencari sesuatu untuk ku isi hati dan mindaku.Kerana itu aku perlukan ilmu.Aku dahagakan ilmu dan aku sering kehausan.


Ya ALLAH Ya Tuhanku..aku bersyukur kerana dapat beryukur.Sesungguhnya bukan semua orang dianugerahkan rasa ingin bersyukur.Nikmatnya perasaan bersyukur itu.Dengan bersyukur, segala masalah yang melanda boleh menjadi ringan.Dengan adanya perasaan bersyukur kita boleh bersabar.Ya ALLAH Ya Tuhanku, aku bersyukur kerana Engkau telah memilih aku untuk menjadi hambaMU.Aku bersyukur dan aku redha menjadi hambaMu kerana sifat-sifatMu yang MAHA HEBAT.

Cuma yang kupinta adalah ajarilah aku lagi dengan semua sifat-sifatMu agar aku lebih mengenaliMU, agar aku tidak berburuk sangka kepadaMu ketika kudiuji..Aku takut dengan murkaMU kerana aku tiada tempat lain untuk kuadukan tentang diriku..Tetapi Hebatnya ENGKAU Ya ALLAH ketika kau murka dengan hambaMU, kau masih memaafkan segala kesalahannya..Kau masih ingin agar hambaMu berjumpa denganMu..Maha Pengampunnya ENGKAU..

Sebagai hamba, aku tidak punya apa-apa.Di dalam tidak punya apa-apa itu aku hairan dengan diriku yang selalu tidak sedar keadaan diriku ini adalah hanya seorang hamba.Aku alpa kerana sering mengikut nafsuku.Andai bukan dengan anugerahMu, mana mungkin aku boleh mengenaliMu dan mencintaiMu.Dengan itu aku mohon rahmat dan kurniaanMu di setiap hela nafasku..Jangan kau biarkan diriku menentukan hidupku sendiri kerana aku hanya tahu apa yang Engkau berikan ku tahu..Berikanlah ku ilham dan jauhkanlah diriku dari sifat2 burukku..kerana KAU Tuhanku YANG MAHA TAHU.Rezekikanlah kepadaku agar aku boleh mencintaiMu setiap saat dan waktu.

Rabu, 12 Mei 2010

11 mei 2010
Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum kepada semua pembaca blogku..

Hari ini setelah sekian lama tidak berpeluang untuk menulis, aku cuba untuk menggunakan sedikit masa yang ada untuk kuluahkan apa yang bermain-main dalam fikiranku sejak kebelakangan ini.Masyarakatku sedang sakit..Itulah antara ungkapan yang sering bermain di kepala ku ini.Tetapi ia seperti satu kejadian yang semua orang sudah tidak berdaya untuk berbuat apa-apa lagi.
Semua berbuat seolah-olah tiada apa yang berlaku.Aneh dan menakutkan.Itulah yang sering kurasakan sejak kebelakangan ini.Semua seolah-olah berada dalam mimpi dan bila sesuatu yang besar berlaku barulah kita semua akan terjaga dari lena yang panjang.
Aku juga terfikir-fikir apakah hanya segelintir sahaja yang memahami situasi sebenar yang kita alami sekarang ini atau mereka semua nampak benda yang sama tetapi menyorokkan tindakan atau kegusaran mereka.Apabila aku cuba kaitkan dengan diriku..suatu masa dahulu yang tidak berapa lama dulu, aku pun tidak mempunyai pandangan seperti ini.Mungkinkah ini anugerah ALLAH? mudah-mudahan..
Dunia ini memang satu tipuan.Hadis nabi saw banyak menceritakan tentang dunia yang penuh dengan tipu daya.Cuba kita lihat perbezaan hidup kita sekarang dengan cara hidup nabi.Mungkin ada yang berkata itu nabi..kita bukan nabi..Itu hak masing-masing nak kata apa pun..Tetapi bagi diriku..di zaman moden ini, apa yang kita lihat di sekeliling kita banyaknya palsu belaka.Kita kena memandang bukan menggunakan mata tetapi mata hati..Sesuatu yang kita pandang itu biarlah selari dengan pandangan nabi saw dan ALLAH swt.Barulah timbul keyakinan bahawa pandangan kita itu adalah satu pandangan yang betul.

Akan bersambung lagi di satu masa akan datang..insyaALLAH.

Selasa, 11 Mei 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Terjumpa sajak yang pernah ditulis satu ketika dulu..

Wahai diri
renungkanlah sedalam-dalamnya
mengapa engkau diciptakan
apakah untuk mencari keseronokan
di dunia yang sementara ini
atau di sebalik penciptaanmu
apakah ada terselit sebuah rahsia
rahsia yang tidak semua dapat membongkarnya

Wahai diri
jika engkau telah tahu
tujuan penciptaanmu
kenapa engkau
masih lalai
masih leka
masih mencuri-curi masa
kenapa tidak
engkau persiapkan dirimu
kerna engkau tidak pernah akan tahu
bila saat perhentianmu

Wahai diri
penciptaanmu sungguh-sungguh ajaib
jika tidak kerna al-quran
yang dibawa oleh nabimu
Muhammad saw
engkau tidak akan pernah tahu
akan asal kewujudanmu
Bersyukurlah kerna hidayah
telah pun dianugerahkan kepadamu

Wahai diri
ayuh bangkitlah
mintalah kekuatan
dari Penciptamu
mintalah agar ditunjuki
jalan-jalan yang lurus
jalan-jalan yang terang
jalan orang-orang yang mendapat petunjukNya

Wahai diri
galilah lagi ilmu-ilmu
yang terbentang luas di alam ini
di samping ilmu quran dan hadis
Wahai diri
bersyukurlah kerna engkau dilahirkan
sebagai seorang Islam

Wahai diri
andai takdir ajalmu
menjemputmu sedetik lagi
apakah sudah cukup persediaanmu?

Wahai diri
dapatkah kau bayangkan
kamar gelap yang menggantikan
kamar indah yang kau duduki saat ini?
dan
siapakah yang akan menemanimu nanti
sesungguhnya hambaMu
tidak berdaya untuk membuat persiapan
yang sebaiknya
Hanya sanya hambaMu
mengharapkan pengampunan
dari Mu Yang Maha Pengampun
Hanya kepadaMu diri ini berserah

Sajak ini kutujukan khas buat diriku..dan untuk kukongsikan bersama sesiapa yang sudi membacanya..

Khamis, 22 April 2010

Kenapa kita mandi

Bismillahirrahmanirrahim
Ada orang terlampau sensitif dengan bau badan.Kalau sensitif dengan bau badan orang lain saja tapi dengan bau badan sendiri tak sensitif, itu dah kes teruk.
Allah jadikan setiap benda berpasangan kerana hanya DIA yang tunggal.Kebanyakan kita hanya prihatin terhadap bau yang fizikal tetapi tak peka langsung dengan bau yang non-fizikal.Kalau badan berbau, kita boleh pergi mandi, syampu dengan syampu yang paling sedap sekali, lepas tu sembur lagi dengan minyak wangi, tambah dengan guna deodran pulak tu..
Tetapi di sebalik sunnah mandi ada tersirat sesuatu yang Allah nak ajar kita iaitu kita pun mesti peka dengan bau tidak enak non-fizikal yang disebabkan oleh dosa-dosa kita. Kekotoran fizikal mudah untuk kita bersihkan tapi kekotoran dosa susah sekali untuk kita bersihkan.
Sudahkah kita membersihkan diri kita daripada kekotoran non-fizikal kita pada hari ini?Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi bersih sebersih-bersihnya luar dan dalam..Dan sama-sama kita amalkan Ya Quddus Ya Salam..moga-moga Allah menjadikan kita hambaNya yang suci dan sejahtera kerana banyak nikmat yang dapat kita peroleh jika kita menjaga kesucian diri luar dan dalam.

Kita dan MASA

Bismillahirrahmanirrahim..

Sedar tak sedar esok dah pun hari terakhir untuk minggu ini(bagi sesiapa yang tinggal di Kedah atau Terengganu). Masa sungguh-sungguh terasa terlalu cepat berlalu.Banyak istilah diberi kepada masa, spt masa itu emas, masa itu kehidupan, masa bagaikan pedang dan macam-macam lagi.Yang penting, masa adalah sesuatu ciptaan Allah yang unik sehinggakan Allah bersumpah dengan masa.
Cuba kita toleh sejenak zaman silam kita masa kanak-kanak dulu, seperti baru saja berlalu.Kita langsung tak dapat nak rasai berapa lama tempoh masa tersebut, cuma yang dapat kita rasa ianya telah pun berlalu.Masa yang berlalu pergi meninggalkan kita dan kita tidak akan berjumpa semula dengan masa tersebut sehinggalah bila di akhirat nanti iaitu bila kita akan menjadi saksi terhadap bagaimana telah kita gunakan masa itu dahulu.
Dalam buku Ihya ada disebutkan, masa yang kita ada dalam 24 jam sehari semalam itu, kita akan buka ia dalam bentuk kotak-kotak.Andai kita telah isi kotak tersebut dengan benda berfaedah, bergembiralah kita.Tetapi andai sebaliknya, kita akan buka kotak itu dengan perasaan yang penuh menyesal.
Sama-sama kita renungkan bagaimanakah kita dan penggunaan masa kita dan apakah hasil yang kita dapat bila kita menghabiskan masa kita dengan cara tersebut.

Rabu, 21 April 2010

Maha Bijaksananya Tuhan kita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Selasa 20 April, 2010
9:30 pagi

Terjumpa satu sajak yang menarik dalam buku yang sedang kubaca sekarang ini, "Kasihmu Semerbak Firdausi - Ruhana Zaki".

Kita minta kepada Tuhan setangkai bunga segar
DIA beri kita kaktus berduri
kita minta kupu-kupu
diberi ulat berbulu
kita sedih dan kecewa
namun kemudian..
kaktus itu berbunga indah sekali
dan ulat itu pun menjadi kupu-kupu
yang sangat cantik
Itulah jalan TUHAN
indah pada masanya
TUHAN tidak memberi apa yang kita harapkan
tapi DIA memberi apa yang kita PERLUKAN
kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka
tapi jauh di atas segala-galanya
DIA sedang mengatur yang terbaik dalam
kehidupan kita

Tepat sekali kata-kata dalam sajak di dalam sajak di atas. Andai setiap ketika ditimpa musibah atau ujian kita boleh berfikiran sedemikian, alangkah baiknya..


Isnin, 19 April 2010

Isnin 19 April, 2010
Alhamdulillah hasrat untuk membuat blog telah tercapai.Banyaknya perkara yang aku tak tahu pasal nak buat blog ni..tak apalah..belajar perlahan-lahan.Yang penting ini adalah salah satu cara untuk aku menulis.Seronok jugak menulis ni, macam kita bersembang jugak, tapi dengan diri sendiri.Menulis boleh membuat pemikiran kita berkembang dan hasilnya otak kita tak lah lembap.
Tapi bila menulis dalam blog, ia sesuatu yang berbeza dengan jika kita menulis di dalam dairi.Hasil tulisan kita boleh dibaca oleh sesiapa saja.Persediaan diri, kita mesti bersedia untuk dikritik. Ini adalah tanda-tanda diri kita semakin inginkan kemajuan.
Bila aku fikir tentang nama blog aku ni, alhamdulillah, aku sangat berpuas hati. Memang itu apa yang aku rasa. Andai tidak dengan Islam, bolehkah seseorang itu menjadi mulia? Mungkin boleh tetapi di mata manusia dan terhad untuk di dunia ini saja. Berbeza dengan Islam, walaupun di mata manusia kita serba kekurangan tetapi nilai kita tinggi di sisi Allah jika kita menjadi hamba yang diredhaiNya.Nikmat yang terbesar adalah menjadi orang Islam yang beriman dan bertaqwa. Kusyukuri nikmatMu yang teragung ini wahai Tuhanku.Itulah juga yang menjadi matlamat hidupku.
Wawasan telah pun jelas, jalan terbentang luas, papan-papan tanda berada di mana-mana..Apakah yang menghalangku untuk terus maju sehingga ke garisan penamat, menang dengan cara terhormat..?Semua jawapannya ada dalam diriku.Ini bukanlah suatu perlumbaan,pertandingan atau persaingan dengan insan lain tetapi ini adalah suatu peperangan di dalam diri sendiri, jihad melawan nafsu.Sesuatu yang bukannya boleh dipandang mudah dan remeh dan inilah yang sentiasa bermain di dalam fikiranku..Menjadi yang terbaik!
Dengan Islam juga segala formula kejayaan hidup telah pun Allah sediakan tetapi musuh-musuh sentiasa berusaha tanpa henti, tanpa kenal penat lelah kerana mereka telah berjanji untuk menyesatkan manusia hinggalah neraka itu menjadi destinasi terakhir kita..nauzubillah min zalik.Kita akan dapat apa yang kita usahakan..dan di dunia inilah dan di saat inilah..aku mesti bekerja keras semoga syurga menjadi destinasi terakhirku.
Bismillahirrahmanirrahim
Ya Allah Ya Tuhanku, banyak perkara yang telah kupelajari dariMu kebelakangan ini. Walaupun aku ada ditimpa sedikit masalah namun nikmat yang sedang, telah dan akan Kau beri adalah tak terhitung banyaknya. Nikmat manakah yang hendak kudustakan? Aku mohon untuk menjadi hambaMu dari golongan yang sedikit iaitu hamba yang mensyukuriMu.Aku akui aku terlalu banyak kelemahan dan sememangnya manusia itu diciptakan dalam keadaan yang lemah..namun aku ingin menjadi mukmin yang kuat..Tunjukilah kepadaku cara-caranya wahai Allah.Setiap hari kurenungi di manakah tahapku sekarang ini..amat susah untuk mendidik diriku..menundukkan nafsuku..Tapi jalan-jalannya semakin terbentang luas, aku yakin dengan anugerahMu aku akan menjadi diriku yang terbaik kerana sememangnya Engkau berkehendakkan setiap hambaMu menjadi yang terbaik.Alhamdulillah aku bersyukur dengan setiap perjalanan hidup yang kutempuhi walaupun ada pahit maungnya tetapi semuanya itu memberiku pelajaran yang tidak ternilai.Apa yang telah Kau takdirkan itu adalah yang terbaik buat diriku.Cuma sekarang ini masih banyak yang perlu kuperkemaskan lagi tentang diriku kerana memikirkan tentang bekalan yang harus kubawa untuk ke alam seterusnya yang sungguh menakutkan andai aku berada di dalam golongan orang yang rugi.Antara tips untuk lebih cemerlang yang kupelajari dalam Islam adalah seimbang dan istiqamah yang mana kedua-duanya susah untuk kujadikan amalan.Tetapi aku yakin tiada apa yang mustahil dengan keizinan dan pertolongan Allah.
Akhirnya aku mencuba juga untuk membuat blog.Tetiba muncul perasaan meluap-luap yang entah
datang tanpa diundang.Jam sudah menunjukkan pukul 1:33 pagi.Adakah aku tidak mahu tidur malam ini?Baju untuk besok masih belum bergosok..aahh..aku nak cuba menulis sedikit dahulu.
Apakah dengan menulis blog boleh menambahbaikkan diriku atau apakah sebaliknya akan berlaku? Semuanya tergantung kepada kenapa aku ingin ada blog.Antara tujuan utama, untuk mengemaskini informasi-informasi yang kucari daripada internet contohnya biografi-biografi tokoh-tokoh Islam, tujuan keduanya, untuk membolehkan aku berkongsi bahan-bahan bacaan dalam blog ini dengan anak-anakku dan ketiganya untuk aku mengasah bakat penulisanku.
Aku harap kehidupanku akan lebih positif dengan adanya blog ini.